December 16, 2011

Jodoh itu Milik Kita - Bab 11


BAB 11

“AARIZ, thanks. Saya gembira sangat dapat jumpa Redza dengan Teja,” ucap Dahlia sambil memandang Redza, Teja dan Joshua yang semakin jauh daripada pandangan matanya. Ikhlas suara Dahlia menyuarakan rasa gembiranya kerana Aariz membenarkannya mengadakan majlis itu. 

Aariz tidak menjawab. Hanya matanya sahaja yang tertancap pada wajah manis Dahlia. Sejujurnya, dia masih teringatkan kata-kata yang diucapkan Redza tadi.

“Mungkin jodoh dia adalah awak. Dan jodoh awak adalah Dahlia.”

Kata-kata itu seperti terngiang-ngiang di telinganya.

Dahlia tidak mempedulikan suaminya yang tidak membalas kata-katanya dan berpaling masuk ke dalam rumah. Hatinya benar-benar riang.

Tiba-tiba telefon di ruang tamu berbunyi. Dahlia yang berdiri berdekatan terus sahaja mengangkat gagang telefon.

Aariz memerhati dari jauh. Hatinya diserbu rasa aneh apabila melihat wajah Dahlia yang tiba-tiba berubah. Wajah riang tadi kelihatan terkejut. Hampir sahaja Dahlia terjelepuk ke atas permaidani namun sempat dia menyambut tubuh kecil isterinya itu.

Tangan Dahlia terketar-ketar, wajahnya pucat dan dadanya turun naik dengan laju, seakan-akan sukar untuk bernafas.

“Lia, Dahlia…are you okay?” Aariz menyoal dengan penuh rasa ambil berat.

Dahlia mengangkat wajah sebelum merenung tepat ke dalam mata Aariz.

“U…u..umi….” Tersekat-sekat suara yang keluar dari kerongkong Dahlia.

Aariz terpempan. Umi?
*****
DAHLIA menyelimutkan umi dengan penuh hati-hati. Wajah tua itu disentuh dengan lembut sebelum Dahlia menunduk dan mencium dahinya. Aariz di sebelah hanya melihat tanpa kata.

“Jom, keluar. Kita bagi umi rehat,” ujar Dahlia pada Aariz seraya berpaling.

Aariz tetap tidak berganjak. Hatinya berat untuk meninggalkan ibunya di dalam bilik itu seorang diri. Hatinya juga sakit kerana tiada apa yang dapat dia lakukan untuk meringankan penderitaan umi. Perlahan Aariz menarik nafas panjang dan menggenggam tangan. Dalam hati, dia mengutuk diri sendiri kerana tidak dapat menjaga dan melindungi umi dengan baik.

Dahlia yang perasan bahawa Aariz tidak menurutinya keluar, menoleh kembali. Wajah tegang suaminya ditatap. Timbul rasa kasihan pada lelaki itu. Perlahan dia merapati Aariz dan mengambil kedua tangan lelaki itu. Digenggam tangan itu sambil bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman yang Dahlia pasti kelihatan canggung memandangkan senyuman itu jelas dibuat-buat. Ya! Dia tidak mampu tersenyum dengan riang dalam keadaan sebegini. Namun Dahlia tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukannya bagi menenangkan perasaan suaminya itu.

Wajah Dahlia hanya dipandang tanpa kata. Tiada juga senyuman yang biasanya Aariz ukirkan buat isterinya. Hanya pandangan kosong yang mampu lahir dari hatinya yang gundah gulana.

“Jom. Kita tengok abah.” Dahlia bersuara dengan lembut sambil tangannya menarik Aariz keluar.

Aariz membuntuti tanpa sebarang kata. Dia hanya mengikut langkah isterinya.

Tuan Haikal memerhati anak dan menantunya yang semakin merapati. Wajah sugul Aariz meruntun jiwanya. Dia tahu Aariz terlalu menyayangi ibunya. Bagi Aariz, ibunya bukan sahaja seorang wanita yang telah menghadiahkannya dengan kasih sayang seorang ibu, malah ibunya adalah seorang penyelamat yang telah menariknya keluar dari sebuah kehidupan yang penuh kegelapan. Dan kerana itulah Aariz sanggup berbuat apa sahaja demi ibunya.

“Abah, abah macam mana? Okey? ” soal Dahlia sebaik sahaja berdepan dengan bapa mertuanya. Soalannya dibalas dengan anggukan, lemah sekali.

“I’m fine. Tapi, abah bimbangkan umi kamu tu. Semalam keadaan dia tu tak adalah teruk sangat. Cuma pagi tadi tiba-tiba je dia asyik muntah-muntah, sampai pengsan,” terang Tuan Haikal perlahan.

“Apa dah jadi sebenarnya, bah? Aariz ingat lepas surgery, keadaan umi akan jadi lebih elok.”

Kali ini Aariz bersuara setelah sejak tadi hanya mendiamkan diri. Suaranya kedengaran tenang, tapi Dahlia dapat merasakan getaran pada suara itu. Dahlia sedar masih ada kerisauan dalam diri Aariz.

Tuan Haikal hanya menjungkitkan bahu, tanda tidak pasti dan tersenyum pahit. Mungkin cuba menyembunyikan rasa sedih dalam hati.

Dahlia memandang wajah tua di hadapannya itu dengan rasa yang sangat kasih. Wajah itu kelihatan cukup tenang, namun Dahlia dapat melihat dengan jelas kebimbangan dan kerisauan yang cuba disembunyikan abah. Perlahan dia menghela nafas panjang.

“Abah, Lia tengok abah macam letih sangat. Abah balik rumah, ya. Rehat kat rumah. Pasal umi, abah jangan risau. Lia akan jaga umi,” ujar Dahlia pada Tuan Haikal.

“Aariz, awak bawa abah balik, boleh? Biar saya stay sini jaga umi. Awak jaga abah kat rumah, ya,” sambung Dahlia lagi. Kali ini suaranya ditujukan pada Aariz pula.

Aariz membuka mulutnya sedikit, ingin membantah rancangan itu. Niat di hatinya mahu tinggal di hospital dan menjaga umi. Dahlia seakan dapat meneka apa yang ada dalam fikirannya kerana gadis itu tiba-tiba sahaja merenungnya tajam. Jelas isterinya itu mahu menunjukkan ketegasan, juga mahu membuatkan Aariz mengerti bahawa dia tidak akan berkompromi mengenai hal itu.

“Saya akan stay sini, jaga umi. Awak jaga abah dan juga balik rehat. You both need rest.” Tegas suara Dahlia kedengaran di hujung telinganya.

Aariz hanya memandang isterinya tanpa kata. Tercuit rasa tidak berpuas hati dalam dirinya. Bukan dia tidak mahu menjaga abah di rumah, tetapi dia tidak tegar meninggalkan umi di hospital sendiri. Dia sebenarnya berkira-kira mahu menghantar abah dan Dahlia ke rumah. Dan biar dia sahaja yang menjaga umi di hospital.

“Awak jangan bimbang, okey? I’ll take care of her. Awak rehat dulu kat rumah. Tenangkan diri. Believe me, semuanya akan tambah baik.” Dahlia menyambung lagi. Kali ini ketegasan yang ditunjukkan tadi sudah hilang entah ke mana, yang tinggal kini hanyalah kelembutan dan rasa mengambil berat yang cukup tinggi buat kedua-dua lelaki di hadapannya.

Keluhan berat terluncur keluar dari mulut Aariz. Matanya dilirik ke arah wajah abah yang jelas nampak keletihan.

“Okey. But if anything happened…”

“To umi, I’ll call you. Don’t worry.” Dahlia memotong kata-kata Aariz.

Aariz tersenyum pahit dan menggelengkan kepalanya.

“I know. Tapi saya nak cakap, if anything happened to both umi and you,” balas Aariz sambil menekankan suara pada perkataan ‘you’.

Berkerut dahi Dahlia.

“Me? Kenapa pula dengan saya?”

“Saya tahu awak pun letih. Penat uruskan majlis tadi pun belum habis, sekarang kena stay kat hospital pula,” jawab Aariz sambil merenung Dahlia.

Senyuman terus sahaja terukir pada wajah Dahlia tatkala mendengarkan jawapan Aariz. Dahlia berasa terharu kerana Aariz sempat memikirkan tentang dirinya walaupun dalam keadaan genting begitu.

“Tak apa. Saya kan superwoman.” Dahlia memberikan jawapan selamba.

Aariz tergelak kecil. Isterinya memang suka membuat lawak dalam keadaan runcing.

“Yes, madam. You’re a superwoman. My superwoman,” balas Aariz sambil menarik hidung Dahlia. Isterinya terjerit kecil seraya menggosok hidungnya beberapa kali. Dahinya dikerutkan. Aariz tertawa lagi. Sedikit demi sedikit rasa gelisah dalam hatinya terbang pergi. Abah yang menonton juga tergelak.

Dahlia yang melihat berasa lega. Sekurang-kurangnya Aariz dan abah kelihatan lebih tenang berbanding tadi. Wajah sugul dan sedih mereka, walaupun masih jelas kelihatan, tidaklah seteruk tadi.

“Rasanya abah dengan Aariz boleh balik sekarang. Saya kena masuk tengok umi,” ucap Dahlia setelah ketawa Aariz dan abah makin reda.

Tuan Haikal mengangguk dan menghulurkan kedua tangannya kepada Dahlia yang kemudiannya menyambut dan tunduk mencium tangan itu.

“Lia jaga umi, ya,” pesan Tuan Haikal pada Dahlia, menantunya.

Dahlia tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepala. Kemudian dia berpaling pada Aariz dan merapati lelaki itu. Entah apa yang merasuk dirinya, Dahlia tiba-tiba sahaja mengjungkitkan kaki dan memeluk suaminya erat. Aariz tergamam. Dia terkaku dalam pelukan yang langsung tidak disangka-sangka itu.

“Awak jangan bimbang. Saya akan jaga umi elok-elok.” Dahlia berbisik lembut pada telinga suaminya.

Aariz dapat merasakan perasaan terharu menjengah masuk dalam dirinya. Perlahan dia mengangkat tangan, membalas pelukan isterinya itu.

“Thanks, Lia. Thanks,” balas Aariz perlahan.
*****
DAHLIA menggeliat beberapa kali, cuba membetulkan urat-urat yang terasa kebas. Mungkin kerana tidur di atas sofa yang kurang selesa. Lambat-lambat Dahlia bangun dan menapak ke arah umi yang masih tidur dengan lena. Ditenungnya wajah tua itu dengan teliti. Walaupun wajah umi dibaluti dengan seribu kedutan dan kelihatan pucat dek kerana penyakit yang dihidapinya, wajah itu penuh dengan ketenangan dan rahsianya sendiri.

Seketika kemudian Dahlia mengambil tangan kanan umi dan memegangnya dengan kemas.

“Umi, Lia merayu…umi bertahanlah.” Dahlia bersuara separuh berbisik.

Tangan umi dilepaskan dan diletakkan kembali ke bawah selimut. Perlahan Dahlia berpaling dan berjalan manuju bilik air. Niat di hati mahu membersihkan diri dan kemudian solat Subuh.

“Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku memohon pada-Mu, berikanlah kekuatan dan ketenangan kepada umi dalam menghadapi penyakitnya. Ringankanlah penderitaannya. Juga berikanlah kekuatan buat abah dan Aariz. Sesungguhnya mereka terlalu menyayangi umi. Penderitaan umi tidak ubah seperti penderitaan mereka sendiri. Tidak lebih dan tidak kurang.” Dahlia berdoa seusai solat Subuh.

“Ya Allah, aku juga memohon pada-Mu, berikanlah aku kekuatan untuk menjaga mereka semua. Berikanlah aku ketabahan untuk menjadi kuat di hadapan mereka. Aku…aku tidak boleh menjadi lemah kerana kelemahan aku cuma akan membuatkan mereka tambah menderita. Aku mahu menjadi kuat demi umi, abah dan juga Aariz, suamiku. Amin, Ya Rabbalalamin…” doa Dahlia penuh syahdu. Perlahan air mata Dahlia menitis.

Dahlia menyeka air mata itu dan menarik nafas panjang seakan-akan mencari kekuatan dalam nafas yang memasuki rongga udaranya. Seketika kemudian Dahlia bangun dan menuju ke arah rak kecil yang terletak di sebelah katil umi. Dikeluarkan sebuah Al-Quran dan Dahlia mula membaca kitab suci itu.

Puan Marina cuba membuka matanya dengan perlahan-lahan. Cahaya lampu yang terang membuatkan dia menutup kembali sepasang matanya. Sekali lagi, Puan Marina cuba membuka kelopak mata dan cuba menyesuaikan diri dengan cahaya di sekelilingnya. Percubaannya kali ini berjaya. Matanya terbuka luas dan mula memandang sekeliling.

Dari jauh, Puan Marina dapat mendengar suara seseorang yang sedang mengaji Al-Quran. Dia cuba mengamati suara itu dengan lebih jelas. Suara yang kedengaran lembut dan membuai perasaan.

‘Dahlia….’ bisik hatinya perlahan.

Spontan dia menggigit bibir. Setiap kali terkenangkan Dahlia, dia pasti akan rasa bersalah. Dahlia baginya seorang gadis yang amat baik, yang datang dari keluarga yang baik-baik dan dididik dengan cukup sempurna oleh keluarganya. Walaupun Dahlia adalah seorang wanita moden yang cukup berdikari dengan karier yang memberangsangkan, gadis itu tidak pernah sekali pun membangga diri atau pun merasakan dirinya terlalu hebat. Dahlia sentiasa bersifat rendah diri dan sentiasa juga menghormati dirinya walhal Puan Marina bukanlah ibunya sendiri. Sifat periang Dahlia juga amat memikat hatinya.

Namun kini Puan Marina merasakan bahawa dia seperti telah mengambil kesempatan di atas kebaikan gadis itu. Tindakannya yang meminta Dahlia menerima Aariz sebagai suaminya sebagai ganti kepada Syafiq dirasakan terlalu mementingkan diri. Dalam hati, Puan Marina sedar bahawa dia bertindak sedemikian kerana dia tidak mahu melepaskan Dahlia kepada sesiapa pun. Dia mahu Dahlia sebagai menantunya, tidak kira sebagai isteri kepada Syafiq atau pun Aariz.

Pada awalnya memang Puan Marina telah merancang mahu menjodohkan Dahlia dengan Syafiq kerana dia merasakan Dahlia amat sesuai untuk anak lelakinya itu. Sifat tegas yang ada dalam diri Dahlia dirasakan akan dapat mengawal sifat keanak-anakan dan terlampau manja yang ada dalam diri Syafiq. Tidak pernah sekalipun dia terfikir untuk menggandingkan Dahlia dengan Aariz kerana dia tahu bahawa Aariz merupakan seorang yang tidak akan pernah berkahwin. Sudah acap kali Aariz memberitahunya mengenai sumpah hidupnya itu. Kerana itulah Puan Marina agak terperanjat apabila Aariz dengan tenang sahaja bersetuju untuk mengahwini Dahlia pada hari itu. Hari yang sepatutnya merupakan hari pernikahan Dahlia dengan Syafiq. Hari yang tiba-tiba bertukar menjadi hari pernikahan Dahlia dengan Aariz Danial.

Dahlia menyudahkan bacaannya dan kemudian mengucup Al-Quran di tangannya. Perlahan dia bangun untuk meletakkan kembali kitab suci itu di dalam laci. Pandangan jatuh pada wajah umi yang hanya terkebil-kebil memandangnya.

“Oh, umi dah bangun? Dah lama ke umi bangun? Kenapa tak panggil Lia?” Terus sahaja Dahlia menyoal sambil tangannya memegang tangan umi.

Puan Marina tersenyum lemah.

“Umi tak nak kacau Lia baca Al-Quran. Sedap suara Lia baca Yasin,” jawab Puan Marina.

Dahlia melemparkan senyuman sambil tangannya ligat menanggalkan kain telekung dan melipatnya dengan elok.

“Umi rasa macam mana sekarang? Lia panggil doktor, ya,” ujar Dahlia seraya menekan butang di sebelah katil.

Puan Marina tidak menjawab pertanyaan Dahlia tadi, sebaliknya dia terus sahaja menyoal Dahlia.

“Lia okey tak?”

Dahlia mengerutkan dahi.

“Kenapa, umi?” Dahlia menjawab pertanyaan ibu mertuanya dengan persoalan juga.

Puan Marina menarik nafas dan mengeluh lemah.

“Aariz….Aariz layan Lia dengan baik tak?”

Tergamam Dahlia saat mendengar soalan yang baru sahaja diutarakan oleh ibu mertuanya. Dipandangnya wajah tua di hadapannya. Dahlia dapat melihat dengan jelas rasa bersalah yang menyelubungi wajah itu.

“Umi…”

“Dulu waktu kat rumah umi hari tu, memang umi tengok dia layan Lia dengan baik. Tapi sekarang kamu berdua tinggal sendiri kat rumah Aariz. Apa-apa pun boleh jadi.” Puan Marina menyambung lagi tanpa sempat Dahlia berkata-kata.

Rasa terharu mula bertamu dalam hati Dahlia. Teringat pula kata-kata ibu beberapa hari lalu yang turut menyuarakan rasa yang sama.

“Umi, Aariz layan Lia dengan baik. Baik sangat-sangat. Umi janganlah risau.” Dahlia bersuara dengan tegas. Mahu menghilangkan rasa risau yang ada dalam diri umi. Juga mahu melenyapkan rasa bersalah dalam diri wanita itu.

Puan Marina memandang wajah tenang Dahlia, seakan mahu mencari jawapan dari wajah itu.

“Umi, percayalah. Aariz layan Lia dengan cukup baik. In fact, mungkin Lia yang tak cukup baik untuk dia.” Jauh nada suara Dahlia. Seakan ada rasa terkilan dalam suara itu.

Dahlia sedar bahawa Aariz, suaminya memang seorang yang cukup sempurna dalam melayan karenahnya. Lelaki itu sentiasa menjaga dan melindunginya, hinggakan kadang kala Dahlia berasa serba-salah kerana tidak pernah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Bukan sekali dua Dahlia perasaan pandangan penuh makna daripada suaminya, terutama sekali tatkala dia keluar dari bilik air dengan rambut yang basah atau tatkala dia dengan selamba sahaja menyarungkan baju tidur paras lutut yang jelas menampakkan bentuk tubuhnya. Dia bukan bodoh atau terlalu naïf untuk memahami maksud pandangan itu, namun setiap kali itu jugalah dia hanya berpura-pura tidak mengerti.

Tanpa sedar, Dahlia melepaskan nafas yang berat.

Puan Marina yang melihat berasa aneh. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Dahlia dan Aariz bukan seperti pasangan suami isteri yang lain. Walaupun wajah Dahlia menunjukkan ketenangan yang jitu, Puan Marina tetap dapat melihat rasa yang berat di wajah itu.

“Puan dah sedar? Saya check, ya.” Tiba-tiba mereka diganggu oleh suara asing.

Dahlia berpaling dan tersenyum melihat seorang doktor muda yang semakin merapati.

“Hmmmm….saya tunggu kat luar. Kalau ada apa-apa, doktor panggil saya, ya,” ujar Dahlia sambil melangkah keluar. Ibu mertuanya hanya memandang tanpa kata.
*****
AARIZ berjalan dengan agak laju menuju ke arah bilik yang menempatkan ibunya. Tadi ketika dia mendapat panggilan daripada Dahlia yang mengatakan ibunya sudah sedar, hatinya berlagu gembira. Terasa sangat lega.
Dari kejauhan dia dapat melihat Dahlia yang sedang duduk di luar bilik umi. Langkahnya dipanjangkan lagi agar dapat tiba dengan lebih cepat.

“Lia…umi….dia…” Suara Aariz tersekat-sekat dalam mengahnya tatkala tiba di hadapan isterinya.

Dahlia bangun dari duduknya dan menepuk belakang Aariz dengan lembut.

“Isy, awak ni. Jangan cakap dalam keadaan termengah-mengah macam ni. Macam hilang nafas…” bebel Dahlia. Tangannya masih terletak elok di belakang tubuh Aariz.

Aariz membiarkan sahaja perlakuan Dahlia. Dia menarik nafas berkali-kali.

“Doktor tengah check umi. Rasanya tak ada apa-apa kot. Tadi masa umi sedar, saya tengok umi macam dah makin elok. Tak macam semalam,” jelas Dahlia panjang lebar.

“Betul?” soal Aariz pada Dahlia setelah mengahnya hilang.

Dahlia mengangguk perlahan.

Sedang mereka berdiri di situ, pintu bilik umi dibuka dari dalam. Doktor muda yang memeriksa umi tadi melangkah keluar. Laju sahaja Aariz dan Dahlia mendekatinya.

“Doc, how’s my mother?” Tanpa berlengah-lengah Aariz menyoal.

“We’ll talk in my room.” Hanya jawapan pendek yang lahir dari mulut doktor itu.

Dahlia dan Aariz berpandangan. Entah kenapa, jawapan itu dirasakan terlalu menakutkan bagi mereka. Jawapan itu seakan menyimpan rahsia yang bakal menghancurkan perasaan mereka.

Perlahan mereka mengikut langkah doktor muda itu.

“Ermmm….your father, suami Puan Marina tak datang ke?” soal doktor itu setelah mereka semua mengambil tempat masing-masing di dalam bilik yang sederhana besar itu.

“Oh, saya minta abah rehat kat rumah. Apa-apa pun yang doktor nak cakap, doktor boleh cakap pada saya dan isteri saya,” jawab Aariz.

“Okay, then.”

Dengan itu, doktor berbangsa Cina dengan tag nama Eric itu mula menjelaskan keadaan umi pada Aariz dan Dahlia. Katanya, colon cancer yang dihidapi umi sudah sampai ke stage IIIA.

“The cancer has spread to the muscle layer of the colon wall,” sambungnya lagi.

Dahlia dan Aariz mengerutkan dahi.

“But….she already had the surgery. Supposedly, the entire tumor has been removed,” sampuk Dahlia tiba-tiba, menyuarakan rasa hairannya.

Teringat Dahlia pada pembedahan yang dijalani oleh umi seminggu sebelum hari pernikahannya. Kerana itulah umi terlalu lemah untuk menghadiri majlisnya itu. Selama berberapa hari selepas pembedahannya, wanita itu cuma mampu ke mana-mana dengan menggunakan kerusi roda. Namun keadaanya semakin baik sejak kebelakangan ini. Kerusi roda sudah tidak diperlukan lagi dan ibu mertuanya itu juga sudah mampu untuk melakukan aktiviti hariannya seperti biasa.

“Yes, and the surgery was a success. Tapi macam yang saya pernah inform dulu, for stage 3 cancer, surgery alone is usually not enough to get rid of all the cancer cells,” jelas doktor itu lagi.

Berubah wajah Aariz dan Dahlia. Wajah mereka bertambah risau.

“So, are you telling me that my mum might….” Kata-kata Aariz terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung kembali.

“Might not survive?” Akhirnya terkeluar juga soalan itu dari kerongkongnya.

Doktor Eric mendiamkan diri seketika. Mungkin berfikir jawapan yang paling sesuai untuk dikhabarkan.

“I won’t conclude it that way. Sebenarnya, bagi pesakit colon cancer stage 3, selain surgery and chemotherapy, pesakit itu juga need to go through drug theraphy. And by receiving all treatments, the survival rate can be 49% and up to 89%,” terang doktor itu panjang lebar.

Aariz dan Dahlia yang mendengar berasa sedikit lega.

“Bagi seseorang pesakit, keinginan mereka untuk hidup dan terus berjuang adalah yang paling penting. So for Puan Marina, I think it’s really important for you to stay by her side and support her.” Doktor Eric menyambung lagi, diselitkan juga dengan nasihat untuk Aariz dan Dahlia.

“Thanks, doc. We will.” Aariz menjawab.

“Yes, we will fight till the end,” sambung Dahlia pula.

4 comments:

  1. Akak, cita ni dah keluar ke?

    ReplyDelete
  2. citer ni akan kuar bln 1 nanti..=)

    ReplyDelete
  3. “Mungkin jodoh dia adalah awak. Dan jodoh awak adalah Dahlia.”

    last n3, nati masuk lagi yea. nak tggu next year mcm lambat je. adesss.....

    ReplyDelete
  4. insya' Allah, akn dimasukkan sehingga bab 25..=)

    ReplyDelete